|
Dato' Haji Hasbullah bin Haji Mat Hassan (Dato' Kaya Perba) (Mufti Kelantan 1990 - 2007) |
Pagi ini semasa bersiap-siap untuk menghadiri mesyuarat bahagian yang pertama kali untuk tahun ini dikejutkan oleh panggilan telefon dari suami memberi khabar sedih ...Dato' Mufti sudah kembali ke Rahmatullah. Selesai saja mesyuarat tergesa-gesa ke rumah Allahyarham Dato'.
|
Di rumah Dato' semasa ziarah |
Masih terbayang di mata semasa Allahyarham mengakad nikah anak menantu pada tahun 2006....setahun sebelum Allahyarham jatuh sakit.
Ini pula catatan my sister the writer....a tribute to Dato' ...
Kami merasai kematian beliau bagaikan satu kehilangan ahli keluarga yang
terdekat. Pada pagi Khamis 25 Safar 1433 bersamaan 19 Januari 2012, cuaca
mendung. Sebelum itu, dini hari hujan turun renyai-renyai mulai pukul 3.00
pagi. Entah mengapa, terbangun awal untuk solat tahajud, biasanya bangun lewat sedikit supaya tidak lama
menunggu waktu Subuh.
Terasa gelisah dan serba tidak kena pada
pagi itu. Sewaktu hendak ke KB
Mall, kami berasa bosan mendengar lagu-lagu yang disiarkan radio, semua saluran
termasuk radio klasik yang menjadi kegemaran. Ha berkata, elok kita dengar cd quraan. Setelah
membelek koleksi cd, kami memilih untuk mendengar alunan suara Sheikh
Bahari membaca juz Amma. Bacaan ayat suci berkemundang di dalam kereta
sepanjang jalan ke pusat bandar. Waktu itu pukul 9.00 pagi. Empat puluh minit kemudian, sewaktu
bersarapan nasi lemak di depan Kota Darulnaim,
sepupu Ha, Haji Zakaria, seorang tahfiz, menelefon dan menyampaikan berita sedih bahawa
Dato’ Mufti Haji Hasbullah Hassan meninggal dunia.
Kami tidak terkejut namun kami
tetap sedih. Hampir 5 tahun beliau koma. Beliau jatuh dan pengsan
sewaktu hendak menunaikan fardhu Asar, pada 1 Ramadan, lima tahun yang lalu.
Sejak itu beliau bagaikan koma walaupun semua usaha dilakukan untuk memulihkan
beliau. Beberapa bulan beliau dirawat di wad HUSM, kemudian, beliau dibawa
pulang ke rumah dalam keadaan koma. Selama itu isteri beliau Kak Moh atau Datin
Fatimah menjaga beliau dengan penuh kasih sayang. Isteri soleh ini tidak keluar
rumah langsung walaupun untuk berjemaah di masjid seperti rutin kebiasaan
beliau. Segala keperluan di luar diurus oleh anak-anak dan jiran.
Beliau akan menelefon sesiapa yang beliau mempercayai dan berfikir dapat membantu. Untuk keperluan menempah tudung dan pakaian,
beliau akan menelefon Ma 'tailor', yang tinggal sebelah rumah kami. Untuk keperluan membeli juadah luar apabila tetamu datang terutama dalam bulan puasa, Kak Moh akan telefon Kak Bah, jiran yang juga saudara sepupu kami. Untuk
urusan kereta, pintu pagar elektrik rosak, beliau akan menelefon suami
blogger. Panggilan SOS beliau tidak
pernah tidak dipedulikan oleh jiran dan rakan taulan. Semua bersedia untuk menaburkan
bakti kepada beliau kerana beliau sebagai isteri menumpukan sepenuh perhatian
untuk keselesaan suami
tersayangnya. Suami tersayang beliau ini
merupakan lambang kekuatan, keutuhan moral, penegak kebaikan untuk kami, jiran
beliau di Kampung Masjid, Kota Bharu. (Arwah Dato Mufti sekeluarga tinggal di
kampong Masjid dari 1985 hingga 2006, kemudian mereka berpindah ke rumah baru
mereka di Jalan Atas Paloh, dekat Sungai Kelantan).
Sewaktu beliau terlantar, amat sukar
untuk kami membandingkan jasad yang kecil kurus, bergantung pernafasan
pada alat dan mendapat khasiat daripada
susu yang dibancuh si isteri dan
dituangkan ke dalam tiub untuk disalurkan ke dalam badan suaminya dengan Dato’
Mufti yang kami kenali, yang kami hormati dan yang kami segani. Dato Mufti yang pada zahirnya tidak tinggi
mana tetapi disebabkan personaliti besarnya pada kami penampilan beliau seorang
individu yang berdiri tegap dan perkasa.
Kami ingat lagi pada pertengahan tahun 1980-an, beliau membeli tanah ibu
saudara kami di belakang rumah kami.
Untuk ke rumah beliau, sesaorang perlu melalui lorong sempit. Jelas
kereta beliau tidak boleh diparkir di depan rumah. Arwah Ayah menawarkan porch sisi rumah kami
untuk beliau parkirkan kereta. Beliau
sekeluarga tidak keberatan untuk tinggal di
situ kerana, bagi beliau amat payah hendak mendapat tapak rumah
berdekatan Masjid Muhammadi. Mendapat tanah di dalam lorong sempit itu suatu
rahmat kerana akan berada berdekatan masjid.
Sejak kehadiran beliau dalam kalangan kami di Kampung Masjid, corak
kehidupan kami sekampung berubah. Boleh
dikatakan kami seluruh kampong terutama yang tinggal di sekitar rumah beliau,
berubah menjadi lebih baik, sopan dan tertib.
Kaum wanita menjaga tertib berpakaian, kaum lelaki menjaga suara supaya
tidak lantang. Perkelahian rumah tangga tiada langsung dan kanak-kanak tidak
bercakap bermaki hamun seperti kelaziman anak-anak nakal. Semua segan dengan
Dato’ Mufti.
Malah generasi baru kampong kami
yang dilahirkan akhir tahun 80-an, 90-an
dan awal millennium, kebanyakan mempunyai nama-nama indah yang bermakna baik. Nama mereka merupakan hadiah daripada arwah
Dato’ Mufti. Apa tidaknya ibu bapa muda
akan memohon beliau meletak nama untuk bayi masing-masing.
Untuk kami pula, arwah Dato’ Mufti ( sewaktu beliau berpindah ke kampong
kami, beliau menjawat Timbalan Mufti) merupakan a tower of strength. Sewaktu ahli
keluarga sakit tenat, beliau berusaha hadir untuk menziarah, malah sewaktu
keadaan mereka nazak tenat, beliau sanggup ke hospital pada awal pagi untuk
sama-sama berdoa. Sewaktu ada kematian, beliau memimpin talkin, mengetuai
tahlil, sewaktu majlis bercukur, beliau akan membelah mulut semua generasi baru keluarga kami. Sewaktu kami mempunyai kesulitan dalam hal
ehwal peribadi terutama yang berkaitan hukam hakam syariah, beliau tidak bosan-bosan memberi
nasihat. Hidup kami tenteram sebab
keberadaan beliau. Untuk kami beliau
adalah satu lambang keutuhan, tempat
kami bergantung apabila ada kesusahan.
Wajar kami ibarat beliau sebagai
abang tertua kami. Malah masa
hayat arwah Ayah, beliau rapat dengan
arwah ayah kami. Beliau memanggil arwah ayah sebagai Abe Heng dan menganggap
dirinya sebagai abang tertua kami.
Beliau berkeyakinan tinggi akan kesejahteraan kawasan tempat kami dan tanah kepunyaan keluarga kami yang tidak mungkin dijilat api kerana arwah
Tuk Kenali yang akrab dengan arwah datuk
sebelah ibu, Haji Ismail Ahmad dan bapa saudara kami, Dato’ Lela Negara,
pernah berdoa untuk kesejahteraan keluarga kami.
Pernah berlaku satu kekecohan
dalam keluarga berebut-rebut kerana
kononnya, moyang kami menanam harta emas
di kawasan rumah kami. Secara berlapik,
beliau memberi nasihat melalui satu kisah seorang tukang gunting yang kelihatan
kaya walaupun beliau bukan orang
berada. Sebenarnya di bawah kerusi beliau ada ditanam emas. Oleh
itu, memadailah kita kelihatan bersinar kerana emas ditanam tanpa kita
memperolehnya yang sudah sebati dengan tanah. Dalam lain perkataan, jangan
buang masa memikir benda yang tidak
pasti. Jelas benar kebijaksanaan dan sifat
diplomasi beliau.
Secara peribadi, kami , sebagai kaum hawa jarang berhadapan dan
bersembang dengan beliau berbanding dengan abang-abang. Apabila ada keperluan, kami boleh duduk
bercakap tentang masalah kami dengan beliau. Walaupun kami amat segan, malu dan
amat berasa rendah diri dan lidah kelu kerana
berada di hadapan seorang alim agama, beliau tidak pernah memandang rendah dan sabar mendengar hujah kami seperti seorang
abang.
Pemergian beliau amat kami rasai, bagaikan hilang tempat bergantung dan
tempat meminta pertolongan. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh
beliau, diangkat beliau bersama-sama orang yang beriman dan beristirahat di
Jannatul Firdaus. Amin.