Thursday, 19 January 2012

Kembalinya Seorang Mufti...

Dato' Haji Hasbullah bin Haji  Mat Hassan (Dato' Kaya Perba)
(Mufti Kelantan 1990 - 2007)

Pagi ini semasa bersiap-siap untuk menghadiri mesyuarat bahagian yang pertama kali untuk tahun ini dikejutkan oleh panggilan telefon dari suami memberi khabar sedih ...Dato' Mufti sudah kembali ke Rahmatullah.  Selesai saja mesyuarat tergesa-gesa ke rumah Allahyarham Dato'.  

Di rumah Dato' semasa ziarah
Masih terbayang di mata semasa Allahyarham mengakad nikah anak menantu pada tahun 2006....setahun sebelum Allahyarham jatuh sakit.



Ini pula catatan my sister the writer....a tribute to Dato' ...

Kami merasai kematian beliau bagaikan satu kehilangan ahli keluarga yang terdekat. Pada pagi Khamis 25 Safar 1433 bersamaan 19 Januari 2012, cuaca mendung. Sebelum itu, dini hari hujan turun renyai-renyai mulai pukul 3.00 pagi. Entah mengapa, terbangun awal untuk solat tahajud, biasanya  bangun lewat sedikit supaya tidak lama menunggu waktu Subuh.

Terasa gelisah dan serba tidak kena pada  pagi itu.  Sewaktu hendak ke KB Mall, kami berasa bosan mendengar lagu-lagu yang disiarkan radio, semua saluran termasuk radio klasik yang menjadi kegemaran. Ha  berkata, elok kita dengar cd quraan. Setelah membelek koleksi cd, kami memilih untuk mendengar alunan suara Sheikh Bahari  membaca juz Amma.  Bacaan ayat suci berkemundang di dalam kereta sepanjang jalan ke pusat bandar. Waktu itu pukul 9.00 pagi.  Empat puluh minit kemudian, sewaktu bersarapan nasi lemak di depan Kota Darulnaim,  sepupu Ha, Haji Zakaria, seorang tahfiz,  menelefon dan menyampaikan berita sedih bahawa Dato’ Mufti Haji Hasbullah Hassan meninggal dunia.

 Kami tidak terkejut namun kami tetap sedih.  Hampir  5 tahun beliau koma. Beliau jatuh dan pengsan sewaktu hendak menunaikan fardhu Asar, pada 1 Ramadan, lima tahun yang lalu. Sejak itu beliau bagaikan koma walaupun semua usaha dilakukan untuk memulihkan beliau. Beberapa bulan beliau dirawat di wad HUSM, kemudian, beliau dibawa pulang ke rumah dalam keadaan koma. Selama itu isteri beliau Kak Moh atau Datin Fatimah menjaga beliau dengan penuh kasih sayang. Isteri soleh ini tidak keluar rumah langsung walaupun untuk berjemaah di masjid seperti rutin kebiasaan beliau. Segala keperluan di luar diurus oleh anak-anak dan jiran.

Beliau akan menelefon sesiapa yang beliau  mempercayai dan berfikir dapat membantu.  Untuk keperluan menempah tudung dan pakaian, beliau akan menelefon Ma 'tailor', yang tinggal sebelah rumah kami.  Untuk keperluan membeli juadah luar apabila tetamu datang terutama dalam bulan puasa, Kak Moh akan telefon Kak Bah, jiran yang juga saudara sepupu kami. Untuk urusan kereta, pintu pagar elektrik rosak, beliau akan menelefon suami blogger.  Panggilan SOS beliau tidak pernah tidak dipedulikan oleh jiran dan rakan taulan. Semua bersedia untuk menaburkan bakti kepada beliau kerana beliau sebagai isteri menumpukan sepenuh perhatian untuk keselesaan  suami tersayangnya.  Suami tersayang beliau ini merupakan lambang kekuatan, keutuhan moral, penegak kebaikan untuk kami, jiran beliau di Kampung Masjid, Kota Bharu. (Arwah Dato Mufti sekeluarga tinggal di kampong Masjid dari 1985 hingga 2006, kemudian mereka berpindah ke rumah baru mereka di Jalan Atas Paloh, dekat Sungai Kelantan).

Sewaktu beliau terlantar, amat sukar  untuk kami membandingkan jasad yang kecil kurus, bergantung pernafasan pada alat dan mendapat khasiat  daripada susu yang dibancuh si isteri  dan dituangkan ke dalam tiub untuk disalurkan ke dalam badan suaminya dengan Dato’ Mufti yang kami kenali, yang kami hormati dan yang kami segani.  Dato Mufti yang pada zahirnya tidak tinggi mana tetapi disebabkan personaliti besarnya pada kami penampilan beliau seorang individu yang berdiri tegap dan perkasa.

Kami ingat lagi pada pertengahan tahun 1980-an, beliau membeli tanah ibu saudara kami di belakang rumah kami.  Untuk ke rumah beliau, sesaorang perlu melalui lorong sempit. Jelas kereta beliau tidak boleh diparkir di depan rumah.  Arwah Ayah menawarkan porch sisi rumah kami untuk beliau parkirkan kereta.  Beliau sekeluarga tidak keberatan untuk tinggal di  situ kerana, bagi beliau amat payah hendak mendapat tapak rumah berdekatan Masjid Muhammadi. Mendapat tanah di dalam lorong sempit itu suatu rahmat kerana akan berada berdekatan masjid.

Sejak kehadiran beliau dalam kalangan kami di Kampung Masjid, corak kehidupan kami sekampung berubah.  Boleh dikatakan kami seluruh kampong terutama yang tinggal di sekitar rumah beliau, berubah menjadi lebih baik, sopan dan tertib.  Kaum wanita menjaga tertib berpakaian, kaum lelaki menjaga suara supaya tidak lantang. Perkelahian rumah tangga tiada langsung dan kanak-kanak tidak bercakap bermaki hamun seperti kelaziman anak-anak nakal. Semua segan dengan Dato’ Mufti.

 Malah generasi baru kampong kami yang dilahirkan  akhir tahun 80-an, 90-an dan awal millennium, kebanyakan mempunyai nama-nama indah yang bermakna baik.  Nama mereka merupakan hadiah daripada arwah Dato’ Mufti.  Apa tidaknya ibu bapa muda akan memohon beliau meletak nama untuk bayi masing-masing.

Untuk kami pula, arwah Dato’ Mufti ( sewaktu beliau berpindah ke kampong kami, beliau menjawat Timbalan Mufti) merupakan a tower of strength. Sewaktu ahli keluarga sakit tenat, beliau berusaha hadir untuk menziarah, malah sewaktu keadaan mereka nazak tenat, beliau sanggup ke hospital pada awal pagi untuk sama-sama berdoa. Sewaktu ada kematian, beliau memimpin talkin, mengetuai tahlil, sewaktu majlis bercukur, beliau akan membelah mulut semua  generasi baru keluarga kami.  Sewaktu kami mempunyai kesulitan dalam hal ehwal peribadi terutama yang berkaitan hukam hakam  syariah, beliau tidak bosan-bosan memberi nasihat.  Hidup kami tenteram sebab keberadaan beliau.  Untuk kami beliau adalah satu  lambang keutuhan, tempat kami bergantung apabila ada kesusahan.

Wajar kami ibarat beliau sebagai  abang  tertua kami. Malah masa hayat arwah Ayah, beliau rapat  dengan arwah ayah kami. Beliau memanggil arwah ayah sebagai Abe Heng dan menganggap dirinya sebagai abang tertua kami.  Beliau berkeyakinan tinggi akan kesejahteraan kawasan  tempat kami dan tanah kepunyaan keluarga kami yang tidak mungkin dijilat api kerana arwah  Tuk Kenali yang akrab dengan arwah datuk  sebelah ibu, Haji Ismail Ahmad dan bapa saudara kami, Dato’ Lela Negara, pernah berdoa untuk kesejahteraan keluarga kami.

 Pernah berlaku satu kekecohan dalam keluarga  berebut-rebut kerana kononnya, moyang kami  menanam harta emas  di kawasan rumah kami. Secara berlapik, beliau memberi nasihat melalui satu kisah seorang tukang gunting yang kelihatan kaya walaupun beliau bukan orang  berada.  Sebenarnya di  bawah kerusi beliau ada ditanam emas. Oleh itu, memadailah kita kelihatan bersinar kerana emas ditanam tanpa kita memperolehnya yang sudah sebati dengan tanah. Dalam lain perkataan, jangan buang  masa memikir benda yang tidak pasti. Jelas benar kebijaksanaan  dan sifat diplomasi beliau.

Secara peribadi, kami , sebagai kaum hawa jarang berhadapan dan bersembang dengan beliau berbanding dengan abang-abang.  Apabila ada keperluan, kami boleh duduk bercakap tentang masalah kami dengan beliau. Walaupun kami amat segan, malu dan amat berasa rendah diri  dan lidah kelu kerana berada di hadapan seorang alim agama, beliau tidak pernah memandang rendah dan  sabar mendengar hujah kami seperti seorang abang.

Pemergian beliau amat kami rasai, bagaikan hilang tempat bergantung dan tempat meminta pertolongan. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh beliau, diangkat beliau bersama-sama orang yang beriman dan beristirahat di Jannatul Firdaus. Amin.

7 comments:

Anonymous said...

Al Fatihah...

Teh said...

Tak terkata. Hanya bacaan al fatihah dan Yasin untuk disedekah kepada arwah yang banyak membawa perubahan kepada keluarga kita, walaupun beliau tidak mempunyai talian darah tetapi pedoman dan nasihat beliau menukar perspektif hidup keluarga kita supaya berusaha menuju ke matlamat ultimate, iaitu pengabadian kepada ALlah SWT. Setinggi mana pencapaian duniawi, setinggi mana kelulusan, sebanyak mana harta benda diperolehi tidak dapat mengganti dan melebihi nilai ibadat ikhlas untuk dijadikan bekalan akhirat. Kami tahu beratus-ratus anak murid beliau sedekah ayat suci kepada beliau kerana betapa besarnya jasa beliau kepada umat hablu minal Nas, tapi kami tetap memohon ke hadrat Illahi agar sedekah bacaan kami yang kurang sempurna diterima-Nya, kami mahu beliau ditempatkan bersama-sama orang yg beriman dan termasuk ke dalam golongan insan yang diredahi Allah SWT. Jasa beliau kepada keluarga kami teramat besar hingga tidak terbalas deknya. Hanya Allah SWT dapat membalasnya.

naniasda said...

You said it all Teh .. hanya Allah SWT yang dapat membalasnya.

Kama At-Tarawis said...

terkedu kama baca. alfatihah untuk roh allahyarham..

naniasda said...

He was a god-sent to us Kak Puteri, he will always be mentioned in our family.

Anonymous said...

Salam, Nak Tanya, apa hubungan dgn Allahyarhamah Hjh Elani dato Ishak,

naniasda said...

Wkmslm Anon...
Saya tidak tahu atau ada maklumat mengenai hubungan keluarga Dato' Mufti dengan Allahyarhamah Hjh Elani Dato Ishak.

Street Art in Kota Bharu

Not many people noticed that the back lanes behind rows of shop houses along Jalan Dato' Pati ,Kota Bharu have been been transformed i...